Saturday, February 15, 2003

Salam Kemaafan


.: Salam Maaf :.

Sebenarnya jiwa jurnal ini telah lama mati bersama lara penulisnya, namun izinkanlah kali ini, buat kali terakhirnya; penulis secara rasminya mengumumkan 'kematian formal' jurnal ini. Penulis mengakui kelemahan diri dalam mentafsir realiti indah dan corak warna-warna hidupnya adalah punca longlai arah dan pengisian, maka penulis harus kembali berpaling untuk mencuri waktu yang hilang dulu. Namun, para pembaca, pelawat, pencinta, rakan taulan dipersilakan untuk terus menghadam segala apa yang ada tercatat dan sudah terakam di sini dengan sejujurnya. Mungkin selepas ini kita boleh bertemu lagi, mungkin bertamu di medium yang lain. Moga-moga jarum yang patah itu, saya sudah boleh buang, takkan saya simpan dalam peti lagi. :)

Apalagi..?


.: Rembesan Diri :.

Jengukan kasih

Air dicincang takkan putus. Ya. Dan aku harap aku bukan seketul air batu..
Kalian, terima kasih tak terhingga atas jengukan & ingatan. :~{


Mereka datang
dengan jengukan
undangan tangisan
kepiluan kesayuan

hati ini luluh..
dan air mata pun tumpah.

Tuesday, February 04, 2003

Malam Panjang


.: Malam Panjang :.

Hari Ulangtahun

Dedaun usia meluruh lagi, gugur buat ke sekian kalinya untuk terus menimbun; merai angka ke-duapuluhtujuh.

Angka hayat senggang masa untuk menghirup nikmat dan rahmatMu bertambah dan dipanjangkan lagi tempoh pinjamannya. AlhamduliLlah.

Selamat kian berusia, NgaH!